ISBN:978-983-99475-4-0 209 PERANGKAP CATFISH KE ATAS IBU TUNGGAL: KAJIAN KES DI KOTA KINABALU, SABAH Mohd Hanafi Jumrah & Aisah Hossin Faculty of Development and Multicultural Studies (FDMS) University College Sabah Foundation (UCSF) Abstrak Kes jenayah cinta siber membabitkan golongan wanita khususnya ibu tunggal menjadi salah satu masalah sosial yang semangkin membimbangkan. Kepesatan teknologi menjadi mekanisma baru dalam menjadikan ibu tunggal sebagai sasaran utama catfish. Catfish boleh didefinisikan sebagai individu yang menggunakan identiti kedua untuk menarik perhatian mangsa jenayah cinta siber dengan memberikan bayangan yang sempurna kepada lawan bicaranya. Objektif kajian ini adalah untuk mengenalpasti faktor utama penyumbang kepada jenayah cinta siber daripada perspektif pengalaman mangsa yang melibatkan seramai lima orang informan dengan menggunakan kaedah temu bual secara mendalam. Dapatan kajian mendapati medium utama yang digunakan oleh catfish dalam memerangkap ibu tunggal adalah aplikasi Facebook. Manakala, faktor penyumbang utama kepada jenayah cinta siber dikategorikan kepada dua tema utama iaitu persekitaran sosial dan tarikan interpersonal. Kata kunci: ibu tunggal, catfish, persekitaran sosial dan tarikan interpersonal PENGENALAN Teknologi merupakan satu mekanisme baru dalam medium perhubungan yang semakin pesat membangun dan berjaya mendapat tempat di hati masyarakat hari ini tidak kira dari peringkat kanak-kanak sehinggalah kepada orang dewasa dan warga emas. Pada asalnya, teknologi dibangunkan adalah untuk memastikan manusia semakin mudah dan dapat berhubung dengan lebih cepat dan tepat. Sejajar dengan itu, pelbagai syarikat telekomunikasi berlumba-lumba untuk mengeluarkan pelbagai kemudahan telekomunikasi dalam pelbagai bentuk yang lebih mudah, ringkas, dan dapat memenuhi keperluan semasa penggunanya. Kepesatan teknologi ini bukan sahaja memberikan satu inovasi baru kepada pengguna tetapi turut digunakan dengan sebaiknya oleh para penjenayah dalam melakukan jenayah siber. Jenayah siber bukanlah satu isu yang baru kepada masyarakat hari ini, namun peningkatan terhadap jenayah ini yang semakin membimbangkan telah menarik perhatian ramai khususnya para sarjana untuk cuba menyelongkar dan mencari punca serta jalan penyelesaian yang boleh membantu para