TEMA: PERADABAN ISLAM SOROTAN TERHADAP PERKEMBANGAN KARYA-KARYA ISLAM DAN HADIS DI NUSANTARA Rosni Wazir Jabatan al-Quran dan al-Sunnah Akademi Islam Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) rosni@kuis.edu.my ABSTRAK Nusantara merupakan satu rantau yang luas yang didiami oleh bangsa yang serumpun, iaitu hampir sama dari segi rupa paras, budaya dan bahasa. Islam pula merupakan agama yang menjadi pegangan sebahagian daripada penduduk di sini, selain dari Buddha dan Hindu. Kedatangan Islam ke sana telah menukar strukrur masyarakatnya secara besar-besaran dan ilmu sudah mula menjadi satu budaya yang kian menyebati dalam kehidupan mereka. Anak- anak kecil sudah mula diperkenalkan dengan pendidikan dan pondok-pondok atau madrasah menjadi tempat mengaji yang terpilih pada waktu itu. Teks bacaan yang yang dikenali sebagai “kitab kuning” telah dibawa masuk dari Timur Tengah, Mekah khususnya serta tempat- tempat lain. Penulisan ini akan menyorot sejarah perkembangan karya-karya Islam ini bermula dari kurun ke 12 sehingga kurun ke 21, serta secara ringkasnya pada karya hadis bermula dari bentuknya yang ringkas dan minimal kepada bentuk kemasan yang bercetak dan tebal; bermula dengan bahasa asing kepada terjemahan dan akhirnya dalam bahasa ibunda sendiri yang membanggakan. Kata kunci : HADIS, KITAB KUNING, KARYA ISLAM. PENGENALAN Sejarah kemasukan Islam ke Nusantara 1 atau Alam Melayu yang direkodkan oleh sejarawan adalah melalui dua tahap; tahap kedatangan dan tahap perkembangan 2 . Perbincangan 1 Definisi Nusantara adalah merangkumi kawasan negeri sebelah Timur tanah besar Asia yang terdiri daripada Semenanjung Indo-China, Kepulauan Indonesia termasuk Tanah Melayu dan juga kepulauan Filipina. Namun skop perbincangan dikhususkan kepada kepulauan Melayu, terutama di daerah Sumetera dan Tanah Melayu. Sila lihat Dr. Haji Abdullah Ishak (1990), Islam di Nusantara (Khususnya di Tanah Melayu), Selangor : al- Rahmaniah (Badan Dakwah & Kebajikan Islam Malaysia), h.53. Terdapat sedikit perbezaan tentang rangkuman wilayah Nusantara berdasarkan pendapat Haji Wan Mohd Saghir apabila beliau membincangkan tentang perkaitan antara istilah “Asia Tenggara”, “Alam Melayu”, “Nusantara” dan “Negeri Bawah Angin”. Bagi beliau, istilah-istilah ini sekiranya dilihat dengan teliti, ia adalah tidak sama. Kawasan yang diistilahkan sebagai “Alam Melayu” sebenarnya adalah lebih luas daripada kawasan “Asia Tenggara”, sedangkan istilah “Nusantara” pula hanyalah berupa “Kepulauan Indonesia”. Istilah “Tanah Jawi” pula hampir sama dengan “Asia Tenggara”. Oleh itu, “Nusantara” adalah lebih kecil daripada “Tanah Jawi” atau “Asia Tenggara”. Sila lihat Haji Wan Mohd Saghir (2002), Wawasan Pemikiran Ulama Asia Tenggara, j.5, Kuala Lumpur : Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara dan Khazanah Fathaniyyah, h.1. 2 Mahayuddin Haji Yahya (2001), Islam di Alam Melayu, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, h.3. 1