3rd International Conference on Arabic Studies and Islamic Civilization e-Proceeding of the 3 rd International Conference on Arabic Studies and Islamic Civilization ICASIC2016 (e-ISBN 978-967-0792-08-8). 14-15 March 2016, Kuala Lumpur, Malaysia. Organized by http://WorldConferences.net 380 MEMBUDAYAKAN CINTA ILMU SEBAGAI KAEDAH PENOLAKAN SERANGAN PEMIKIRAN LIBERAL Nazneen binti Ismail Jabatan Usuluddin, Akademi Islam Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor Dr. Syaidatun Nazirah bt Abu Zahrin Pusat Citra, UKM ABSTRAK Perbincangan tentang ilmu telah dijadikan konsep asas dalam falsafah Islam. Ia kerana ilmu dan proses keilmuan menjadi perkara yang melatari kehidupan seorang Muslim. Buktinya para ulama silam begitu bermotivasi dalam mengkaji dan menuntut ilmu kerana kedudukan ilmu yang tinggi dalam Islam di samping ia sebagai wasilah dalam mengenal Allah SWT. Kecintaan terhadap ilmu begitu tinggi menjadikan keilmuan mereka diiktiraf tanpa ragu. Berbeza dengan hari ini di mana rasa cinta itu mula dihakis dengan penafsiran bersifat sempit terhadap ilmu, tujuan sistem pendidikan yang diubah kepada pengejaran sijil dan peperiksaan dan pandangan umum adanya nilai ekonomi dan martabat sosial mengiringi sijil tersebut. Kebekuan ini menjadikan lahir generasi berpendidikan tetapi lemah dalam melakukan analisis yang kritis terhadap isu semasa. Fenomena ini menjadikan usaha penyelewengan pemikiran semakin menular dalam masyarakat termasuk pemikiran liberal. Pemikiran yang berslogan kebebasan ini dilihat begitu menarik dan seolah-olah benar. Meskipun pada awalnya ia ditolak dan ditentang keras oleh ilmuwan Muslim, namun pada hari ini kemunculan sebahagian golongan Muslim yang memperjuangkan kebebasan pemikiran seperti Jaringan Islam Liberal (JIL) menjadikan sebahagian umat Islam begitu mudah untuk dipengaruhi. Maka, penulisan ini bakal mengetengahkan kepentingan cinta ilmu dalam membentengi Muslim daripada penyelewengan pemikiran ini. Kajian dilakukan menggunakan kaedah analisis dokumen berdasarkan al-Quran, sunnah dan pandangan para ilmuwan Muslim. Hasil kajian mendapati kecintaan kepada ilmu didasari cinta kepada Tuhan menjana pemikiran yang bersih dan berdaya tahan. Kata kunci: cinta ilmu, penyelewengan pemikiran, liberal -------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------- 1. Pendahuluan Penekanan ilmu dalam Islam dilihat dari sudut ia mempunyai hubungan langsung dengan iman dan takwa kepada Allah SWT. Ia bermakna ilmu yang diperoleh selayaknya menjadikan seorang insan semakin mengenali hakikat diri sebagai hamba sekali gus mengenali Tuhannya. Namun, salah faham tentang ilmu dan peranannya kepada manusia menjadikan ia tidak menjadi tujuan utama kehidupan. Wan Mohd Nor (1995) menyatakan terdapat salah faham dalam masyarakat tentang konsep ilmu. Antaranya ialah memahami ilmu hanya berkisar isu keagamaan seperti ilmu fikah, akidah dan akhlak. Terdapat juga yang mentafsirkan ilmu terhad kepada perkara bersumberkan akal dan rasional semata-mata. Fenomena ini hakikatnya mempunyai hubungan dengan fasa pemodenan dan sekularisasi sistem pendidikan yang dibawa oleh penjajah ke Tanah Melayu. Fasa ini menjadikan budaya ilmu semakin dihakis kerana tujuan pendidikan sudah diubah haluan kepada pengejaran tergesa-gesa untuk mendapatkan sijil hanya kerana nilai ekonomi dan martabat sosial yang bakal