CABARAN PENGGIAT TEATER BAHARU DI MALAYSIA oleh Abdul Walid bin Ali abdulwalidali@gmail.com Abstrak Seni teater di Malaysia merupakan seni persembahan yang mempunyai peminat yang ramai dalam negara. Banyak pengkarya seni teater telah menjadikan seni teater sebagai kerjaya professional dan tidak kurang juga yang meninggalkan seni ini atas pelbagai faktor. Pertambahan institut pengajian tinggi yang menawarkan kursus teater telah menyebabkan pertambahan penggiat seni teater baharu dalam negara. Mereka ini yang akan menjadi pelapis kepada penggiat-penggiat seni teater yang terdahulu dan mereka pastinya mempunyai kelebihan memandangkan mereka telah mendapat pendidikan secara formal dan dengan ilmu yang mereka ada, mereka boleh meningkatkan kualiti persembahan teater. Namun begitu, masih banyak yang tidak dapat bertahan dalam dunia teater. Kebanyakannya telah meninggalkan dunia teater atas faktor ekonomi, tanggungjawab, kesukaran pemasaran dan juga apresiasi seni khalayak Malaysia. Dalam menghasilkan teater, pelbagai cabaran perlu dilalui oleh penggiat teater baharu. Dalam kajian ini, pengkaji akan memfokuskan kepada cabaran-cabaran yang bakal dihadapi oleh penggiat-penggiat teater baharu dalam negara. Kajian ini lebih memfokuskan kepada seni persembahan teater di sekitar Kuala Lumpur dan juga kumpulan teater baharu yang mementaskan teater yang berskala kecil. 1 ©Abdul Walid bin Ali