1 PENGGUNAAN BAHASA MELAYU PELAJAR PROGRAM MINOR BAHASA KADAZANDUSUN UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS DALAM TUGASAN: SATU ANALISIS Minah Sintian Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan Email: minahsintian@fbk.upsi.my Tel: 011 11838551 Abstrak Kertas kerja ini membentangkan hasil kajian berkaitan penggunaan Bahasa Melayu dalam tugasan pelajar Program Minor Bahasa Kadazandusun di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Kajian dilakukan dengan menggunakan kaedah analisis kandungan dan rujukan kepustakaan. Terdapat 10 buah tugasan pelajar bagi kursus BDK3033 Kemahiran Menulis dalam Bahasa Kadazandusun telah dianalisis. Beberapa perkara diambil kira dalam kajian ini antaranya menganalisis perkataan Bahasa Melayu yang terkandung dalam tugasan sama ada perkataan tersebut ditulis menggunakan ejaan Bahasa Melayu ataupun dieja menggunakan campuran Bahasa Melayu dan Kadazandusun. Contoh ‘minta tolong’ (ejaan Bahasa Melayu), ‘mokitulung’ (ejaan campuran Bahasa Melayu dan Kadazandusun). Rangkai kata ‘minta tolong’ dalam Bahasa Kadazandusun yang betul ialah mokiuhup iaitu terdiri daripada satu perkataan sahaja. Dapatan menunjukkan tugasan yang paling kerap menggunakan Bahasa Melayu ialah Tugasan 10 iaitu terdapat 77 perkataan yang dieja betul menggunakan Bahasa Melayu, diikuti Tugasan 5 iaitu terdapat 55 perkataan Bahasa Melayu dengan ejaan yang betul, Tugasan 9 iaitu terdapat 49 perkataan Bahasa Melayu dan Tugasan 8 iaitu terdapat 47 perkataan Bahasa Melayu. Tugasan yang paling kurang menggunakan Bahasa Melayu ialah Tugasan 2 iaitu hanya terdapat 6 perkataan Bahasa Melayu sahaja. Keadaan ini menunjukkan bahawa penggunaan Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar Program Minor Bahasa Kadazandusun telah begitu sebati dalam diri mereka sama ada dalam bentuk lisan mahupun penulisan. Pengenalan Program Minor Bahasa Kadazandusun telah diperkenalkan di Universiti Pendidikan Sultan Idris pada tahun 2010. Terdapat lapan kursus ditawarkan kepada pelajar bagi membolehkan mereka bergraduat dan bakal menjadi guru Bahasa Kadazandusun apabila keluar dari universiti. Kursus-kursus tersebut disampaikan sepenuhnya dalam Bahasa Kadazandusun baik dalam lisan mahupun penulisan. Demikian juga tugasan yang dilakukan oleh pelajar haruslah ditulis dalam Bahasa Kadazandusun. Memandangkan pelajar tidak pernah belajar subjek Bahasa Kadazandusun secara formal sama ada di sekolah rendah ataupun di sekolah menengah 1 , maka sudah pasti penulisan mereka bercampur aduk dengan Bahasa Melayu. Senario ringkas faktor pelajar mencampur adukkan Bahasa Melayu dalam penulisan adalah kerana Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan yang termaktub dalam seksyen 152(1) Perlembagaan Persekutuan (Lembaga 1 Bahasa Kadazandusun dengan menggunakan bahasa standard Bunduliwan telah dilaksanakan di beberapa buah sekolah rendah sebagai percubaan pada tahun 1997 dan sekolah menengah pada tahun 2007 (SJDisimon, 2009).