9 MENYINGKAP SIKAP PELAJAR TERHADAP SUBJEK MATEMATIK DI SEKOLAH MENENGAH KEBANGASAAN Zuhaimy Ismail PENGENALAN Sukar untuk difahami tentang apa itu sikap pelajar dalam pembelajaran matematik, namun ia berkait rapat dengan tingkahlaku pelajar terhadap pelajarannya. Seseorang pelajar yang boleh mengikuti pelajarannya dengan aktif dan baik dikatakan sebagai pelajar bersikap positif terhadap pelajaran matematiknya sebaliknya sikap tidak sanggup menghabiskan masa menyelesaikan masalah, kurang aktif berfikir, dan tidak aktif bertanya, boleh dikatakan pelajar tersebut mempunyai sikap yang negatif terhadap pembelajaran matematik. Sikap pelajar terhadap pelajaran sering dikaitkan dengan pencapaian pelajar dalam subjek tersebut. Guru mempunyai peranan yang amat besar dan perlu mengenali dan memahami sikap pelajarnya terhadap subjek matematik. Sikap yang ada pada pelajar sering kali tidak dapat dikenalpasi oleh pelajar tetapi ianya memerlukan pertolongan guru bagi menilai sikap pelajar terhadap matematik. Dalam pendidikan matematik, guru berperanan mewujudkan komunikasi, perundingan guru-pelajar, dan mengaktifkan proses pembelajaran. Bishop, 1985 menyatakan, “Guru mempunyai matlamat pengajaran yang tertentu dan matlamat itu berbeza daripada matlamat yang dipunyai oleh pelajar. Perundingan ialah interaksi bermatlamat antara guru dan pelajar yang masing-masing cuba mencapai matlamat masing-masing”. Dalam mempelajari subjek matematik, tidak mencukupi untuk mengubah tingkahlaku seseorang kerana sikap mempunyai pengaruh yang lebih terhadap perubahan dalam tingkahlaku (Bingham, 1986). Oleh itu pembentukan sikap yang positif terhadap pempelajaran matematik adalah satu matlamat dan harapan yang akan memastikan keberkesanan pembelajaran matematik seterusnya membentuk generasi akan dating yang mempunyai pemikiran mantik, analisis, bersistem dan kritis, berkemampuan menyelesaikan masalah kompleks dan mempunyai kebolehan menggunkan ilmu pengetahuan matematik. Ini semua akan dapat membantu individu tersebut berfungsi dalam kehidupan seharian yang berkesan dan bettanggungjawab, dan menghargai kepentingan dan keindahan matematik. Oleh itu guru dan sekolah memainkan peranna yang amat penting dalam menentukan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran subjek matematik. Sikap pelajar terhadap subjek matematik ini amat penting. Oleh itu, tumpuan utama pendidikan matematik adalah untuk membentuk sikap pelajar yang positif dan melibatkan diri dengan aktif dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran matematik.