GEOGRAFIA Online
TM
Malaysian Journal of Society and Space 15 issue 2 (69-83)
© 2019, e-ISSN 2682-7727 https://doi.org/10.17576/geo-2019-1502-06 69
Tahap kesedaran komuniti pinggir pantai terhadap kenaikan aras laut
Noorazuan Md Hashim, Zaini Sakawi, Lam Kouk Choy, Mokhtar Jaafar, Rosniza Aznie Che Rose,
Nor Hasyifa Ahmad
Program Geografi, Pusat Pembangunan, Sosial dan Persekitaran, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Correspondence: Noorazuan Md Hashim (email: azwan@ukm.edu.my)
Received: 23 January 2019; Accepted: 14 April 2019; Published: 14 May 2019
Abstrak
Komuniti pinggir pantai merupakan golongan yang paling terdedah kepada bahaya perubahan
kenaikan paras laut di Malaysia. Walaupun negeri Selangor tidak termasuk di dalam zon kritikal
kenaikan aras laut, namun faktor lokasi petempatan yang berhampiran garis pantai serta
topografi yang rendah berupaya mencetuskan bencana pada masa hadapan. Justeru itu, makalah
ini bertujuan mengenal pasti tahap pengetahuan dan kesedaran komuniti pinggir pantai terhadap
perubahan iklim dan kenaikan aras laut. Sebanyak 1050 responden telah dipilih secara rawak
bagi tujuan tinjauan soal selidik di sekitar sepuluh petempatan utama zon pesisir pantai di
Selangor, bermula dari Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam sehinggalah ke Tanjung Sepat,
Kuala Langat, Selangor. Di samping itu, temu bual informan utama dan diskusi kumpulan fokus,
khususnya komuniti nelayan pinggir pantai telah dilakukan. Hampir 70 peratus daripada
responden sedar terhadap isu berkaitan perubahan iklim dan pengaruhnya terhadap kesihatan
manusia menjadi kenyataan yang paling kerap dikaitkan. Bagaimanapun, kesedaran tentang
bahaya perubahan iklim kepada peningkatan aras laut mengambarkan peratusan yang sederhana.
Hasil kajian membuktikan responden berbangsa Melayu mempunyai nilai skor tertinggi untuk
konstruk pengetahuan, kesedaran dan tanggapan terhadap perubahan iklim. Hasilan tahap
keprihatinan perubahan iklim menunjukkan kawasan Sg. Nibong, Kuala Selangor mempunyai
tahap keprihatinan tertinggi (nilai indeks = 0.971), manakala Kg. Batu Laut, Kuala Langat
mempunyai nilai keprihatinan paling rendah (nilai indeks = 0.183). Kajian ini telah membuktikan
wujudnya perbezaan kesedaran dan keprihatinan komuniti pinggir pantai terhadap perubahan
iklim dan kenaikan aras laut berdasarkan lokasi petempatan dan kumpulan bangsa. Adalah
diharapkan, hasil kajian ini berupaya memberi maklumat penting kepada pihak penguasa dalam
pengurusan dan perancangan program adaptasi serta penyesuaian terhadap sebarang bencana
berkaitan kenaikan paras laut.
Katakunci: kenaikan aras laut, keprihatinan, komuniti, perubahan iklim, pinggir pantai,
variabiliti