Faktor-faktor Yang Menyumbang kepada Kecemerlangan Akademik Pelajar di Universiti Teknologi Malaysia Dr. Arham Abdullah, Baharin Mesir, Ahmad Muhaimin Mohamad Institusi Pembangunan Felo, Universiti Teknologi Malaysia, 81310 UTM Skudai, Johor baharinm@yahoo.com Abstrak: Kecemerlangan akademik merupakan matlamat utama kebanyakan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT). Ia merupakan alat pengukur yang menentukan tahap kejayaan seseorang pelajar didalam bidang akademik di IPT. Persoalan utama yang ingin diselesaikan dalam kajian ini ialah apakah faktor-faktor yang menyumbang kepada kecemerlangan akademik pelajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) supaya ia boleh membantu melahirkan pelajar yang cemerlang dari sudut akademik yang mampu berdaya saing didalam masyarakat. Diantara aspek yang diambil kira adalah dari segi latarbelakang pelajar, sikap terhadap pembelajaran dan persekitaran pembelajaran yang mempengaruhi seseorang pelajar. Kajian ini berbentuk kajian penerangan secara deskriptif yang berbentuk tinjauan menggunakan pendekatan kuantitatif dengan borang soal selidik dijadikan instrumen kajian. Katakunci: Faktor Kecemerlangan Akademik, Institusi Pengajian Tinggi. 1. 0 PENGENALAN Kecemerlangan akademik merupakan matlamat utama kebanyakan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT). Ia merupakan alat pengukur yang menentukan tahap kejayaan seseorang pelajar di dalam bidang akademik di institusi pengajian tinggi. Kecemerlangan di dalam bidang akademik dapat menunjukkan sejauh mana ilmu di dalam sesuatu bidang yang dipelajari itu mampu untuk dikuasai. Perkara ini merupakan satu isu yang amat penting di kalangan pelajar di IPT kerana merekalah yang bakal terjun dalam masyarakat dan menggerakkan segala aspek kehidupan dengan menggunakan ilmu dan kepakaran yang telah mereka pelajari di IPT. Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kesinambungan kemajuan sesebuah negara bergantung kepada mereka. Di bahu mereka inilah terletak seribu satu tugas dan cabaran di dalam membangunkan masyarakat agar dapat berdaya saing setanding dengan negara lain yang pesat berkembang di dalam pelbagai aspek kehidupan. Merekalah yang akan keluar sebagai bakal pemimpin dan tenaga profesional ataupun juga disebut sebagai modal insan yang penting ke arah menyumbang kepada kemajuan negara . Mereka sering digambarkan sebagai model golongan terpelajar yang sering dijadikan contoh di dalam masyarakat. Oleh kerana itu, sekiranya mereka mampu menguasai ilmu yang dipelajari dan mampu mengaplikasikannya di dalam masyarakat, sudah pasti masyarakat tersebut dapat berkembang dan membangun, di samping dapat meningkatkan taraf dan kualiti hidup masyarakat ke arah yang lebih baik. Namun begitu, untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik, bukanlah satu perkara yang mudah. Banyak sebenarnya faktor-faktor yang mempengaruhi kecemerlangan akademik seseorang pelajar. Kecemerlangan akademik juga perlu seiring dengan kecemerlangan aspek-aspek yang lain seperti kemahiran komunikasi, kepimpinan, pengurusan diri, akhlak dan personaliti kerana secara tidak langsung ia banyak membantu ke arah pencapaian akademik yang cemerlang.. Justeru itu, di dalam usaha untuk melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang dari sudut akademik, faktor-faktor yang menyumbang kepada kecemerlangan akademik pelajar perlulah dikaji dan dikenal pasti supaya usaha-usaha yang dilakukan dapat mencapai matlamat dengan lebih berkesan. 1.1 Latar Belakang Masalah