GRIT: Bakat Vs Usaha - Bagaimana Untuk Berjaya Dalam Hidup Menurut Kajian Psikologi Syed Ahmad Fathi fathi137@gmail.com Abstrak: Tulisan ini merupakan dapatan saya dari pembacaan buku bertajuk GRIT tulisan Angela Duckworth yang telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu. Buku ini berkisar tentang soalan kejayaan manusia dalam hidup. Apa yang menyebabkan manusia berjaya? Apakah ciri utama yang diperlukan oleh manusia untuk berjaya? Adakah bakat semula jadi atau usaha keras tanpa putus asa? Dalam banyak ciri-ciri ini pula, yang manakah yang paling dominan dan perlu diberikan perhatian? Inilah persoalan-persoalan yang cuba dijawab oleh Angela dalam buku ini. Beliau menggunakan pendekatan kajian psikologi bagi menjawab persoalan-persoalan ini. Kata kunci: GRIT, Angela Duckworth, Kejayaan Hidup, Psikologi, Usaha, Bakat, Pendirian Pendahuluan: Thesis Utama alam prakatanya, Angela mengetengahkan thesis utama buku beliau iaitu kejayaan yang dicapai oleh manusia dalam hidup lebih banyak ditentukan oleh kemahuan yang kuat disertai dengan sifat tidak putus asa dan kerja keras, ini adalah ciri utama yang menyebabkan manusia berjaya, dan ciri ini lebih penting dari pergantungan hanya kepada bakat semulajadi. (vii) Ini adalah thesis utama buku ini dan Angela kemudian menerangkan hasil kajian dan penelitian beliau. Beliau juga memulakan buku beliau dengan pengalaman peribadi beliau sendiri, kisah peribadi dalam jalan hidupnya yang membawanya ke puncak. Melihat semula hidupnya beliau berkata: “Saya mungkin bukan orang yang paling bijak. Tetapi saya akan berusaha menjadi orang yang paling cekal”. (viii) Pada bab yang pertama, Angela membawakan penelitian beliau dalam latihan ketenteraan Amerika di West Point. Melihat calon-calon yang berjaya, beliau mendapati orang yang berjaya mempunyai rasa tidak selesa dengan sifat selesa itu sendiri. Sebaliknya mereka sentiasa tidak berpuas hati dengan pencapaian diri. Mereka sentiasa berusaha untuk melakukan lebih, untuk meneroka dan memperbaiki diri. Perasaan ini membawa mereka ke tingkat kejayaan yang semakin tinggi setiap masa. Ini sebenarnya sesuai dengan kata pujangga yang kita ada hari ini bahawa “esok mestilah lebih baik dari hari ini, dan hari ini mestilah lebih baik dari semalam”. (9) Definisi Grit Grit dalam naskah ini diterjemahkan sebagai orang yang mempunyai pendirian yang teguh. Grit dalam bahasa Melayu boleh diterjemahkan sebagai pendirian atau D