Bedah Buku PMU: Politik Untuk Pemula Karya Ayman Rashdan Wong Syed Ahmad Fathi fathi137@gmail.com Abstrak: Penulisan ini merupakan nota jawapan yang saya sediakan dalam program bedah buku anjuran Exco Akademik dan Penyelidikan Persatuan Mahasiswa Undang-Undang (PMU) dari Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) pada 06 Januari 2022 melalui platform Instagram live. Selain nota jawapan, saya sertakan juga ulasan umum saya perihal buku ini juga cadangan bacaan lanjutan. Kata kunci: Politik, Politik Untuk Pemula, Ayman Rashdan Wong, Ideologi, Falsafah 1. Apakah Perbincangan yang dibawa oleh buku ini dan kenapa masyarakat perlu membaca buku ini? Assalamualaikum, terima kasih kepada penganjur kerana menjemput saya dalam ruang bicara ini. Yang saya hormati tuan moderator dan rakan panelis. Sebenarnya ini merupakan pertama kali saya membaca buku terbitan Patriot dan juga buku tulisan saudara Ayman. Saya sebenarnya seorang yang suka membaca buku yang orang lain tidak baca, dan tidak berapa gemar membaca buku-buku popular. Ini adalah kekuatan saya, dalam masa yang sama ia juga adalah kelemahan saya. Membaca buku yang berlainan akan melahirkan pemikiran yang berlainan, ini adalah kekuatan. Tetapi dalam masa yang sama, jika kita tidak membaca buku popular tempatan, kita terpisah dari wacana tempatan, kita mungkin dicandukan dengan ideologi dan pemikiran yang tak berpijak di bumi kita sendiri, ini adalah kelemahannya (kelemahan saya). Setelah saya membaca buku ini saya dapati ia adalah pengenalan yang baik perihal apa itu politik. Ada perkara yang saya bersetuju, dan ada juga perkara yang saya tidak setuju. Saya kira apa yang dibincangkan adalah perkara-perkara yang sangat asas dalam politik. Perihal strukturnya, fungsinya, juga pemikiran dasarnya. Walaupun ada beberapa perkara yang saya tidak bersetuju, saya masih merasakan ia adalah bahan bacaan ringan yang baik sebagai pengenalan kepada subjek politik. Tetapi ia bukanlah satu makalah yang cukup untuk kita memahami politik kerana perbincangannya sangat-sangat asas. Kenapa masyarakat perlu faham akan politik? Pertama kerana kehidupan mereka terkesan secara langsung dari perubahan politik. Kedua kerana jika masyarakat gagal memahami politik, mereka mudah dipermainkan dan ditipu. Ketiga, untuk kita hidup dengan penuh makna, kita perlu memahami dunia kehidupan kita, pemahaman kita terhadap politik ini merupakan satu ilmu yang sangat asas dalam kita memahami kehidupan manusia yang kita adalah sebahagian darinya. Jika kita merasakan dunia ini tidak adil dan perlukan perubahan, kita tak dapat lakukan perubahan jika kita tak memahami dunia ini. Akhirnya mungkin kita hanya akan dipermainkan dan dipergunakan.