Seminar Pendidikan Sejarah dan Geografi 2013 (UMS, 29 – 30 Ogos 2013) 76 Peranan I nstitusi Raja-Raja Melayu Menurut Perlembagaan Dalam Memelihara Kedudukan I slam Dari Perspektif Pendidikan Sejarah Nazri Muslim Pusat Pengajian Umum Universiti Kebangsaan Malaysia nazrim@ukm.my Abstrak Pemerintahan beraja telah sedia wujud dalam sistem sosial di negeri-negeri Melayu sejak berabad-abad lamanya. Menurut sistem beraja ini, raja mempunyai kuasa mutlak dalam setiap pemerintahan dan pentadbiran negeri khususnya sebelum penjajahan Inggeris. Apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, institusi pemerintahan beraja itu diteruskan dengan beberapa pindaan supaya disesuaikan dengan konsep demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan. Institusi beraja juga dikaitkan dengan persoalan agama kerana, mereka adalah ketua agama di negeri masing-masing dan bertanggungjawab menjaga agama Islam serta sebarang pindaan yang ingin dibuat terhadap agama Islam perlu mendapat perkenan raja-raja dahulu. Rasional peranan Majlis Raja-Raja dalam soal ini ialah perlembagaan hanya menekankan persoalan pentadbiran negara. Maka, dalam hal persoalan agama dibiarkan untuk dikendalikan oleh institusi beraja. Justeru, makalah ini akan melihat peranan institusi beraja dalam menjaga kedudukan Islam dari perspektif pendidikan sejarah. Perspektif pendidikan sejarah di sini bermaksud perkara yang perlu diterapkan dalam kurikulum sistem pendidikan sejarah yang berkaitan dengan peranan institusi beraja dalam menjaga kedudukan Islam dalam perlembagaan. Hal ini kerana perbincangan mengenai Institusi Beraja di peringkat sekolah tidak dijadikan subjek khusus tetapi diterapkan dalam mata pelajaran Sejarah. Manakala perbincangan mengenai Institusi Beraja hanya berkisar kepada apa yang termaktub dalam perlembagaan tanpa dihuraikan dari segi rasional kenapa sesuatu peruntukan itu dimasukkan dalam perlembagaan. Hujah ini perlu diambil kira kerana pelajar sekolah dewasa ini lebih berfikiran terbuka dan matang dalam menganalisis sesuatu isu daripada mereka menerima sahaja isu yang berbangkit disebabkan terdedah dalam dunia teknologi maklumat.