TALK@FEM 2021: CLASSIFICATION OF B40, M40 AND T20: DOES IT REFLECT THE REAL COVID-19 SITUATION? DR. MUHAMMAD IQMAL HISHAM KAMARUDDIN Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). 23 Jun 2021 Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia telah meneruskan tradisi untuk menganjurkan satu program trademark iaitu ‘Talk@FEMbagi siri Jun 2021. Pada program Talk@FEM kali ini, tajuk yang dipilih adalah ‘Classification of B40, M40 and T20: Does It Reflect the Real COVID-19 Situation?’. Program ini telah dijalankan pada hari Rabu bermula jam 2.30 petang sehingga 4.30 petang melalui aplikasi Zoom. Seramai kira-kira 57 peserta telah menghadiri program kali ini melibatkan para pensyarah dan pelajar USIM, ahli akademik dari universiti tempatan dan juga pemain industri yang berkaitan.Tujuan program ini diadakan adalah sebagai wadah perkongsian, perbincangan dan percambahan idea secara santai bagi membincangkan isu-isu yang berkaitan ekonomi Malaysia khususnya mengenai pengkelasan kumpulan masyarakat berdasarkan pendapatan isi rumah yang lebih dikenali sebagai B40, M40 dan T20 serta kewajaran pengkelasan tersebut disebabkan oleh COVID-19. Sesi perkongsian ini telah disampaikan oleh Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai yang merupakan profesor di Graduate School of Business Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR). Beliau sememangnya terkenal di dalam bidang ekonomi Malaysia dan telah mempunyai pengalaman melakukan penyelidikan ekonomi bersama dengan pelbagai jabatan dan agensi ekonomi kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri termasuklah Unit Perancang Ekonomi, Kementerian Perusahaan Awam, kerajaan Negeri Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Selangor sejak lebih 25 tahun yang lalu. Berdasarkan perkongsian beliau, sememangnya ekonomi global telah terjejas disebabkan oleh pandemik COVID-19. Ini menyebabkan kelembapan ekonomi dan seterusnya menimbulkan beberapa isu dan masalah penting termasuk pengangguran, inflasi, pertumbuhan negatif dan akhirnya pengurangan pendapatan isi rumah. Ini menimbulkan kebimbangan mengenai kelangsungan hidup terutama bagi golongan kurang mampu yang kebanyakannya terdedah kepada kemelesetan ekonomi. Kemuncaknya ialah berapa banyak yang ‘sebenarnya’ terjejas dan sejauh mana landskap kumpulan pengkelasan berdasarkan pendapatan isi rumah berubah berdasarkan keadaan semasa ini. Secara tidak langsung, ini akan melebarkan lagi jurang pendapatan antara T20 dan B40 serta penurunan taraf sebahagian M40 kepada B40. Melihat kepada bantuan semasa di bawah pakej rangsangan ekonomi, kebanyakkan bertumpu kepada golongan B40 dan kurang tumpuan kepada M40 dan T20. Ini menimbulkan permasalah terutamanya buat M40 dan T20 yang terjejas pendapatan akibat COVID-19 berikutan tiada sistem sokongan ekonomi untuk mereka selain moratorium yang diperkenalkan secara sementara. Program yang diadakan telah berjalan dengan lancar dan mencapai objektif yang ditetapkan. Setinggi penghargaan kepada pencermah jemputan Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai serta semua yang terlibat di dalam menjayakan program Talk@FEM siri Jun 2021. 71