The Malaysian Journal of Analytical Sciences, Vol 10, No 2 (2006): 233-242 KESAN AKTIVITI PENANAMAN PADI TERHADAP KUALITI AIR Mohd Rozali Othman 1 , Mohd Talib Hj. Latif 2 , Abdullah Samat 2 , Muhamad Sanusi Sulaiman 3 1 Program Kimia, Pusat Pengajian Sains Kimia dan Teknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kabangsaan Malaysia, 43600 UKM Bangi, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA 2 Program Sains Sekitaran, Pusat Pengajian Sains Sekitaran dan Sumber Alam, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kabangsaan Malaysia, 43600 UKM Bangi, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA 3 Jabatan Alam Sekitar, Aras 3 - 7, Blok C4, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan , 62662 Putrajaya. Abstrak. Kajian kualiti air di kawasan sawah padi di Sungai Burung, Tanjung Karang, Selangor telah dijalankan untuk melihat kesan penanaman padi ke atas kualiti air. Sebelas stesen persampelan yang merangkumi tempat-tempat air masuk, air dalam petak sawah, air yang keluar dan air yang keluar sebelum ke sistem saliran umum telah dipilih. Parameter kajian adalah terdiri daripada parameter in-situ, parameter fizik dan kimia yang terdiri dari suhu, pH, oksigen terlarut, keperluan oksigan biokimia (BOD), keperluan oksigen kimia (COD), pepejal terampai, nitrogen ammonia, fosfat, nitrat, sulfat, sulfida, dan logam-logam Cd, Pb serta Zn. Hasil kajian mendapati terdapat sesetengah parameter yang meningkat semasa air keluar manakala parameter seperti suhu dan kekeruhan menurun, namun perbezaanya adalah tidak bererti. Ini menunjukkan kesedaran petani di kawasan berkenaan dalam penggunaan baja dan racun makhluk perosak adalah tinggi, namun pencemaran tetap berlaku walaupun pada tahap yang rendah. Keputusan kajian juga mendapati bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar pada 1996 bahawa aktiviti pertanian bukan lagi mendatangkan masalah pencemaran utama perlu difikirkan semula. Abstract. A study on impact of padi plantation activities on water quality was carried out at Sungai Burung, Tanjung Karang, Selangor at a total of eleven stations located at water inlet, in the padi field area, outlet an at irrigation channel before joining with other domestic waste water. Selected water quality parameters namely temperature, pH, dissolved oxygen, biological oxygen demand (BOD), chemical oxygen demand (COD), suspended solid, phosphate, nitrate, sulfate, sulfide, ammoniacal nitrogen and heavy metals (cadmium, lead and zink) were chose. Results show that there are an increase in some parameters when the water passed the padi fields, while temperature and turbidity were decreases, however its differences was not significant. Key words: agriculture, discharge, water quality Pendahuluan Malaysia seperti juga dengan negara-negara membangun lain, tidak terlepas dari masalah pencemaran, antaranya ialah pencemaran air dan udara. Kerosakan sekitaran mula dirasai berikutan negara mencapai kadar pembangunan dan pertumbuhan ekonomi yang begitu pesat dalam pelbagai sektor seperti perindustrian, perbandaran, pertanian, perlombongan, pelancongan dan sebagainya [1]. Secara amnya terdapat empat punca utama pencemaran iaitu buangan domestik, buangan perindustrian dan perlombongan, pelepasan dari larian permukaan dari aktiviti pertanian dan hakisan [2]. Lazimnya, pengagihan kuantiti air adalah berkaitan dengan kualitinya secara langsung [3]. Pencemaran air boleh menghadkan punca air bersih. Hampir 67% daripada sungai yang dipantau telah tercemar dan kebanyakannya dicemari oleh pepejal organik, logam berat dan lain-lain [4]. Untuk tujuan penambahan bahan makanan, sektor pertanian telah dimajukan secara besar-besaran melalui penggunaan baja untuk mempercepatkan tumbesaran dan meningkatkan hasil tanaman, begitu juga dengan penggunaan pelbagai jenis racun makhluk perosak. Penggunaan baja lebih daripada yang sepatutnya atau kawalan yang tidak baik akan mengakibatkan pencemaran terhadap sekitaran terutamanya bagi sistem akuatik. Penilaian kualiti air bukan sahaja berdasarkan kepada kegunaan air tetapi juga kepada kepekatan pelbagai juzuk dalam jasad air berkenaan [5]. Antara unsur utama yang terdapat dalam baja yang digunakan untuk tujuan pertanian ialah nitrat, dimana ia akan diambil oleh tumbuhan untuk membina protein sel dan ia adalah antara sumber utama nutrien untuk pokok padi [6]. Disamping itu logam-logam berat juga boleh terhasil daripada aktiviti pertanian. Antaranya ialah logam kadmium dan zink. Dimana sebagai contohnya zink yang bercampur dengan kuprum atau ammonia memberikan kesan ketoksikan yang tinggi kepada organisma [7]. 233