International Conference On Syariah & Law2021(ICONSYAL 2021)-Online Conference 6 th April 2021 516 KEHARUSAN PEMELIHARAAN HAIWAN LIAR DAN EKSOTIK BAGI ORANG ISLAM MOHD KAMARUL KHAIDZIR SAADAN 1 MUHAMMAD SAFWAN FIKRI SAMSUDIN 2 *Corresponding Author: khaidzir@kuis.edu.my ABSTRAK Memelihara binatang bagi tujuan hiburan, teman, dan perlindungan termasuk di dalam adat budaya masyarakat di Malaysia. Haiwan peliharaan yang dipilih merupakan haiwan domestik yang dijinakkan seperti kucing, arnab, burung, hamster, dan sebagainya. Namun begitu terdapat trend masyarakat hari ini yang menjadikan haiwan liar dan eksotik sebagai peliharaan dan teman seperti ular, tupai, cicak, biawak, katak dan sebagainya. Perubahan trend ini perlu dikawalselia dengan merujuk kepada garis panduan syarak agar terkawal dan tidak melampaui batas. Tujuan kertas ini adalah untuk melihat sejauhmana keharusan memelihara haiwan liar dan eksotik menurut perspektif Islam. Fokus kajian adalah tertumpu kepada hukum memelihara haiwan bagi tujuan teman dan hiburan termasuk haiwan eksotik, liar dan haram dimakan. Metodologi kajian adalah melalui pendekatan kualitatif dengan melakukan pengumpulan maklumat dari sumber rujukan fekah dan fatwa. Hasil kajian mendapati hukum pemeliharaan haiwan adalah dibenarkan bagi orang Islam jika wujud keperluan dan maslahah kepada haiwan dan pemiliknya. Kata kunci: Pemeliharaan haiwan, Liar dan eksotik, Hukum fekah, Maslahah. 1. Pengenalan Haiwan membawa maksud binatang iaitu makhluk yang bernyawa dan tidak berakal. Peliharaan pula membawa maksud yang dipelihara. Oleh itu, haiwan peliharaan pula membawa maksud binatang yang dipelihara oleh seseorang (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2004). Haiwan peliharaan merupakan haiwan domestik atau haiwan yang dijinakkan untuk dijadikan teman, perlindungan atau hiburan. Haiwan yang sering dipelihara adalah seperti anjing, kucing, arnab, burung, hamster, khinzir dan sebagainya. Ada juga yang memelihara reptilia seperti jenis cicak atau ular sebagai haiwan peliharaan. Memiliki haiwan peliharaan bermakna memikul tanggungjawab ke atas kebajikan haiwan tersebut bukan setakat menjaga sahaja. Tanggungjawab memastikan ia sihat, kelihatan bersih dan kemas serta gembira. Walaubagaimanapun kesihatan dan kebajikan diri sendiri perlu di utamakan. Oleh itu ada beberapa perkara yang perlu tahu sebelum mempertimbangkan untuk memiliki haiwan peliharaan. 1 Pensyarah, Fakuti Syariah dan Undang-Undang, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Bandar Seri Putra, Kajang, Selangor 2 Calon Sarjana, Fakuti Syariah dan Undang-Undang, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Bandar Seri Putra, Kajang, Selangor