Vol. 11, No. 2 (2016) 104-124, ISSN: 1823-884x TAHAP PERSEPSI MUSLIM DAN NON-MUSLIM MENGENAI HUBUNGAN INTERAKSI ANTARA AGAMA: KAJIAN TINJAUAN DI NEGERI KEDAH DAN SELANGOR (Muslim and Non Muslim Perception on Inter-Religion Interaction: A Case Study in Kedah and Selangor) Muhammad Nazmi Abd Halim & Jaffary Awang ABSTRAK Persepsi merupakan suatu mekanisme kompleks yang membentuk budaya pemikiran seseorang hasil daripada interaksi dengan alam sekelilingnya berdasarkan memori lampau, dan juga imbasan yang melihat pada masa kini dan akan datang. Melaluinya, kita sedar akan sesuatu perkara yang ditanggapi. Berdasarkan landskap sosiologi agama di Malaysia, kelihatan bahawa hubungan interaksi antara agama sering dibayangi dengan kecenderungan terhadap persepsi- persepsi yang negatif dalam kalangan masyarakat multi-etnik dan agama. Oleh itu, kajian lapangan ini dilaksanakan bertujuan untuk menganalisis sejauh manakah tahap persepsi masyarakat lokal yang berlainan kepercayaan dan anutan mengenai hubungan interaksi antara agama di Malaysia khususnya di negeri Kedah dan Selangor. Maka, kajian kuantitatif ini melibatkan seramai 555 responden yang dipilih berdasarkan faktor agama dominan melibatkan penganut daripada agama Islam mewakili komuniti Muslim serta Buddha, Hindu dan Kristian yang mewakili komuniti non-Muslim. Manakala, analisis yang digunakan melibatkan ujian statistik deskriptif seperti frekuensi, peratusan, min dan ujian statistik inferensi seperti Mann Whitney-U dan Kruskal Wallis-H digunakan bagi menerangkan latar belakang responden dan menilai tahap persepsi responden terhadap objektif kajian yang dilakukan. Seterusnya, hasil kajian mendapati tahap persepsi dalam kalangan komuniti Muslim dan non-Muslim berada pada kadar tinggi meskipun terdapat perbezaan yang signifikan pada kadar Mann Whitney-U: (Z - 8.264, p = .000). Sementara itu, terdapat perbezaan yang signifikan antara komposisi etnik dan negeri yang terlibat dengan masing-masing mencatatkan kadar Kruskal Wallis-H: [x 2 (1, N=555) = 70.857, p=.000] dan [x 2 (1, N=555) = 26.229, p=.000]. Analisis berdasarkan hasil kumpulan data soal selidik yang telah diproses melalui program SPSS daripada kajian Pola Interaksi Sosial