Sains Malaysiana 47(10)(2018): 2241–2249 http://dx.doi.org/10.17576/jsm-2018-4710-01 Potensi Hakisan Tanih di Lembangan Sungai Bilut, Raub, Pahang menggunakan Integrasi RUSLE dan GIS (Soil Erosion Potential at Sungai Bilut Catchment, Raub, Pahang using Integration of RUSLE and GIS) TUKIMAT LIHAN*, NUR FATIN KHODRI, MUZZNEENA AHMAD MUSTAPHA, ZULFAHMI ALI RAHMAN & WAN MOHD RAZI IDRIS ABSTRAK Aktiviti guna tanah di kawasan lembangan adalah salah satu faktor yang mendorong kepada kemerosotan kualiti air sungai akibat daripada hakisan tanih. Potensi hakisan tanih di kawasan lembangan Sungai Bilut, Raub, Pahang yang menjadi sumber bekalan air minuman utama di daerah Raub boleh ditentukan dengan menggunakan integrasi model Semakan Semula Persamaan Kehilangan Tanih Universal (RUSLE) dan Sistem Maklumat Geograf (GIS). Kajian ini bertujuan untuk menentukan potensi hakisan tanih dan faktor utama yang mempengaruhi kadar hakisan tanih. Kajian ini melibatkan penggunaan data sekunder yang terdiri daripada data hujan, data siri tanih dan topograf bagi menghasilkan faktor kehakisan hujan (R), kebolehhakisan tanih (K), serta panjang dan kecuraman cerun (LS). Faktor litupan tumbuhan (C) dan amalan pemuliharaan (P) pula dijana daripada imej satelit Landsat 8 (2014). Keputusan kajian menunjukkan nilai faktor R di kawasan kajian ialah 8927.68-9775.18 MJ mm ha -1 jam -1 tahun -1 , nilai K ialah 0.036-0.500 tan jam -1 MJ -1 mm -1 , nilai LS ialah 0-514, nilai C ialah 0.03-0.80 dan nilai P ialah 0.1-0.7. Kawasan yang mempunyai potensi hakisan sangat rendah hingga rendah meliputi 81%, manakala potensi hakisan tanih sederhana hingga sangat tinggi meliputi 19% daripada keseluruhan kawasan kajian. Model yang dihasilkan mempunyai ketepatan sebanyak 81%. Faktor utama yang mempengaruhi berlakunya hakisan tanih di kawasan kajian adalah faktor topograf, litupan tumbuhan dan kebolehhakisan tanih. Keputusan menunjukkan analisis integrasi RUSLE dan GIS berpotensi dalam penentuan potensi hakisan tanih untuk kawasan luas yang mempunyai pelbagai jenis guna tanah, topograf dan jenis tanih. Kata kunci: GIS; hakisan tanih; RUSLE ABSTRACT Land use activities within catchment area are one of the factors contributing to deterioration of river water quality due to soil erosion. Potential soil erosion at the Sungai Bilut catchment, which is the main source of water supply in Raub district, can be determined using Revised Universal Soil Loss Equation (RUSLE) and Geographical Information System (GIS). The aims of this research were to determine the potential soil loss and also to determine the main factors that infuence the rate of soil erosion. This study involved analysis of secondary data of rainfall, soil series and topography data to generate factors of rainfall erosivity (R), soil erodibility (K) and length and steepness of slope (LS). Vegetation coverage and conservation practices factors were generated from satellite image of Landsat 8 (2014). The results showed that the R factor value in the study area is 8927.68-9775.18 MJ mm ha -1 h -1 yr -1 , K value is 0.0036-0.500 tones h -1 MJ -1 mm -1 , LS value is 0-514, C value is 0.03-0.80 and P value is 0.1-0.7. The area that has very low to low erosion potential is 81%, while medium to very high erosion potential is 19% of total study area. The model has an accuracy of 81%. The main factors that contribute to the potential of soil erosion in the study area are topography, vegetation cover, and soil erodibility. The results indicated the potential of integration of RUSLE and GIS analysis in determination of potential soil erosion in wide area consisting of various land use, topography and soil type. Keywords: GIS; RUSLE; soil erosion PENGENALAN Hakisan tanih merupakan masalah utama yang dihadapi oleh negara yang mempunyai iklim tropika seperti Malaysia kerana iklim khatulistiwa yang dialami Malaysia menyumbang kepada taburan hujan yang tinggi dengan purata 2400 mm setahun (Jaafar et al. 2011). Selain itu, kebanyakan kawasan tanah tinggi di negara yang beriklim tropika mengalami kehilangan tanih yang agak teruk disebabkan oleh faktor semula jadi (Markose & Jayappa 2016). Tanih yang terhakis dari kawasan tinggi adalah punca berlakunya pengurangan kesuburan tanih, mengubah morfologi sungai dan masalah pemendapan (Millward & Mersey 1999). Hakisan tanih juga memberi kesan kepada bahagian hulu dan hilir sungai. Di hulu sungai, hakisan tanih menyebabkan kehilangan produktiviti dan kehilangan kapasiti penyimpanan air di lokasi terhakis.