1 ETIKA GLOBAL DALAM REVOLUSI INDUSTRI KEEMPAT BERDASARKAN PERSPEKTIF POLITIK ANTARABANGSA† Oleh: Ahmad Muziru Idham Bin Adnan 1 PENDAHULUAN Revolusi Industri Keempat (RIK) merupakan sebuah fenomena baru pada era digital yang semakin pesat membangun pada masa ini. RIK adalah bercirikan teknologi-teknologi baru yang merupakan gabungan lapangan digital, fizikal, dan biologikal yang memberi kesan terhadap kesemua lapangan termasuklah ekonomi dan perindustrian (Schawb, 2017), dipetik dalam McKenzie, 2017). Sebagai sebuah fenomena globalisasi, RIK telah mewujudkan sebuah dunia tanpa sempadan yang mana kewujudannya tidak sekadar menjadi faktor pembangunan komunikasi dan ekonomi, tetapi jauh daripada itu telah menjadi alat persenjataan kepada sesebuah negara yang dibangunkan sebagai salah satu daripada alat keselamatan baharu, berbanding senjata-senjata ketenteraan tradisional yang lain. Dalam hal ini, ia adalah penting untuk dibuat suatu penelitian tentang bagaimana perbincangan etika global dapat dijadikan sebuah kerangka bagi sebuah letusan RIK dalam sistem antarabangsa pada hari ini. Dalam apa jua ideologi yang dipegang oleh sesebuah kerajaan bagi sesebuah negara, setiap keputusan dalam menggubal polisi itu adalah bersandarkan kepada rasionaliti berbatas (bounded rationality) yang sentiasa memiliki jurang yang perlu diisi untuk memastikan kelompangan itu tidak berakibatkan kepada sesuatu yang buruk, dan antara ruang lompang tersebut adalah ruang etika global. Etika global merupakan sesuatu yang terus sentiasa diperbahaskan, namun tulisan ini akan cuba melihat serba sedikit bagaimana ianya dapat mengisi kelompangan ruang dalam wacana sistem antarabangsa sebagai sebuah permulaan. RIK adalah sebuah fenomena mutakhir yang tidak boleh ditinggalkan bertumbuh tanpa diletakkan perbincangan tentang etika ke dalamnya. Oleh sebab itu, makalah ini akan memulakan perbincangan dengan melihat terlebih dahulu fakta-fakta daripada RIK ini dalam polisi-polisi luar antarabangsa dengan melihat beberapa buah fakta daripada tindakan beberapa buah negara berhubung dengan RIK. Seterusnya, makalah ini akan membincangkan etika dalam politik pentadbiran global dalam meneliti bagaimana wacana etika global dapat diterapkan dalam politik pentadbiran global. Akhir sekali, makalah ini menyimpulkan bahawa dalam menghadapi fenomena global RIK, pentadbiran negara di peringkat global tidak boleh meninggalkan etika dalam penggubalan polisinya bagi mewujudkan sebuah dunia yang aman dan tenteram serta persaingan yang sihat dalam sistem antarabangsa. † Makalah ini bertujuan dibentangkan di Seminar Falsafah Di Zaman Digital bertempat di Institut Darul Ehsan, Seksyen 15, Shah Alam pada 24 Februari 2018. Seminar ini adalah anjuran Persatuan Pendidikan Falsafah dan Pemikiran Malaysia dengan kerjasama Institut Darul Ehsan. 1 Ahmad Muziru Idham Bin Adnan merupakan seorang pelajar sarjana bagi Ijazah Sarjana Kajian Strategik & Keselamatan di Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau juga merupakan Advocacy Officer di Islamic Renaissance Front (IRF). Beliau boleh dihubungi di amuziruidham@yahoo.com