Jurnal Melayu Isu Khas Disember 2020 390 ISSN 1675-7513 FRASA ADVERBA DALAM TUHFAT AL NAFIS NASRUN ALIAS Universiti Kebangsaan Malaysia nursan@ukm.edu.my NUR SHAFIQAH AMIRAH BINTI ABDULLAH Universiti Kebangsaan Malaysia nurshafiqahamirah1994@gmail.com ABSTRAK Kajian tentang frasa adverba sering menjadi tumpuan ahli-ahli linguistik di Malaysia. Hal ini demikian kerana terdapat sesetengahnya beranggapan bahawa bahasa Melayu tidak mempunyai struktur adverba. Sesetengah yang lain pula beranggapan bahawa adverba wujud dalam bahasa Melayu tetapi dalam bentuk yang sangat terhad, dan yang lain pula bersetuju bahawa bahasa Melayu, seperti juga bahasa-bahasa lain, juga mempunyai struktur adverba. Kajian ini membincangkan kedudukan adverba dalam bahasa Melayu berdasarkan kitab Tuhfat Al Nafis. Dalam hal ini, adverba dibincangkan daripada segi ciri-cirinya dan strukturnya menggunakan data bahasa Melayu lama. Data dianalisis dengan menggunakan pendekatan struktural. Penggunaan teks lama dalam kajian linguistik masih tidak banyak dijalankan oleh pengkaji-pengkaji bahasa, sama ada tempatan mahu pun antarabangsa. Dengan adanya kajian sebegini, diharap dapat menjelaskan hubungan bahasa Melayu abad ke-19 dengan bahasa Melayu yang digunakan pada hari ini. Dapatan kajian ini, telah membuktikan bahawa bahasa Melayu telah lama memanfaatkan penggunaan pelbagai frasa adverba. Ini secara tidak langsung menafikan pendapat yang mengatakan bahasa Melayu tidak mempunyai adverba, atau hanya terhad kepada bentuk kata adverba sahaja. Kata kunci: Adverba, bahasa Melayu lama, sintaksis; struktural; Tuhfat Al Nafis ADVERB PHRASE IN TUHFAT AL NAFIS ABSTRACT The study of adverb phrase always become the subject of discussion by Malaysian linguist. This is because, some of the grammarian assume that Malay does not have adverbs. Others assume that adverbs exist in a very minimal form while others agreed that Malay do have adverbs, as other languages did. This study will discuss the position of adverb in Malay, based on an old text, Tuhfat Al Nafis. In this case, adverb will be discuss based on its features and structure by using the data from old Malay. The data will be analyse using the structural approach. The used of old Malay text to study linguistic are still few. It is hoped that this study can explain the relationship between 19 th century Malay with the modern Malay. This study has proven that old Malay has long been manipulating the use of adverbs. This also deny the assumption that Malay language does not have adverbs, or only have limited type of adverbs. Keywords: Adverb; old Malay language; syntax; structural; Tuhfat Al Nafis