GEOGRAFIA Online
TM
Malaysian Journal of Society and Space 17 issue 2 (206-220)
© 2021, e-ISSN 2682-7727 https://doi.org/10.17576/geo-2021-1702-16 206
Politik pilihan raya dalam PRU-14 dan pasca PRU-14 di Negeri Sembilan
Junaidi Awang Besar, Mokhtar Jaafar, Mokhtar Ahmad
Program Geografi, Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran,
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Correspondence: Junaidi Awang Besar (email: jab@ukm.edu.my)
Received: 26 April 2020; Accepted: 25 January 2021; Published: 29 May 2021
Abstrak
Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 menyaksikan buat pertama kalinya parti pembangkang iaitu
Pakatan Harapan (PH) yang menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) berjaya menewaskan
Barisan Nasional di Negeri Sembilan dengan 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dikuasai
oleh PH berbanding 16 kerusi DUN dikuasai BN daripada keseluruhan 36 kerusi DUN.
Kemenangan PH ini menunjukkan berlakunya dinamika politik yang disebabkan oleh faktor isu,
kepimpinan, pengaruh media sosial dan ingin mencuba pemerintahan baru. Artikel ini
menganalisis politik pilihan raya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan pasca PRU-14 di
Negeri Sembilan. Penulisan artikel ini menggunakan data primer iaitu data kualitatif daripada
pemerhatian di lapangan dan data sekunder iaitu olahan data sekunder daripada keputusan PRU-
14 dari Suruhanjaya Pilihan Raya bagi Negeri Sembilan, buku akademik, artikel jurnal dan kertas
seminar. Dapatan kajian menunjukkan bahawa perubahan politik yang berlaku di Negeri Sembilan
telah memberi satu gambaran tentang dinamisnya pola tingkah laku politik dalam pengundian.
Namun begitu, beberapa kawasan di Negeri Sembilan masih lagi memberi sokongan kuat kepada
BN terutamanya di beberapa DUN yang majoritinya pengundi kaum Melayu. Isu nasional terutama
1MDB dan cukai GST adalah sebahagian daripada modal berkempen yang kuat dan kerap
digunakan oleh PH dalam kempen mereka di samping isu pemilikan tanah. Bagi pasca PRU-14,
dua Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlaku di negeri ini memberi gambaran yang berbeza
mengenai sokongan rakyat terhadap kepimpinan semasa. Oleh itu implikasi penulisan artikel ini
menunjukkan bahawa politik nasional dan politik Negeri Sembilan bersifat dinamik dan berseni
berdasarkan kepada isu dan kredibiliti kepimpinan.
Kata kunci: Pilihan Raya Umum, dinamika politik, isu, kepimpinan, media sosial