318 KONSEP PSIKOLOGI KESABARAN: DEFINISI, JENIS DAN UNSUR THE PSYCHOLOGICAL CONCEPT OF PATIENCE: DEFINITIONS, TYPES AND ELEMENTS Farah Najwa Mohd Nazri 1 & Firuz-akhtar Lubis 2 1 Program Prasiswazah Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, UKM A177651@siswa.ukm.edu.my 2 Pusat Kajian Bahasa Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, UKM firuz@ukm.edu.my ABSTRAK Konsep Psikologi Kesabaran adalah berkenaan tindak balas awal yang aktif dalam mengawal emosi, fikiran, perkataan dan perbuatan yang mengikuti peraturan dan bertujuan untuk melakukan kebaikan. Konsep ini amat berkait rapat dengan sikap sabar seseorang individu terutamanya apabila berhadapan dengan situasi yang buruk atau tidak menyenangkan. Islam banyak membahaskan konsep sabar sebagai tindak balas pertahanan psikologi manusia dalam menghadapi dugaan yang terjadi sepanjang hayat manusia. Konsep sabar dalam al-Quran menjadi salah satu bahasan ulama yang cukup penting. Maka, konsep ini juga mampu memberikan manfaat dan panduan kepada manusia untuk mengawal emosi daripada cepat marah dan tidak bersabar. Namun begitu, konsep psikologi kesabaran ini masih perlu dilakukan kajian yang mendalam dan perlu diperluaskan lagi supaya konsep ini dapat dijadikan suatu pendekatan lazim terhadap sikap sabar. Oleh itu, kajian ini dilakukan untuk meneliti definisi psikologi kesabaran, mengenalpasti jenis-jenis sabar dan mengetahui unsur-unsur dalam konsep psikologi kesabaran. Hasil kajian mendapati bahawa konsep psikologi kesabaran penting dalam setiap aspek kehidupan manusia kerana manusia akan sentiasa diuji oleh Allah dan konsep ini mampu memberikan panduan agar manusia sentiasa berada di landasan yang benar. Kata Kunci: Konsep, psikologi, sabar, al-Quran, psikologi kesabaran 1. PENGENALAN Sabar merupakan akhlak mahmudah yang paling dititikberatkan dan ditekankan dalam al-Quran, samada pada surah makiyah ataupun madaniyah (Sundari, 2018). Sabar juga adalah salah satu bahagian utama dalam membentuk akhlak seseorang. Secara amnya, sabar di tujukan kepada manusia dan secara khusus kepada orang yang beriman. Hal ini demikian kerana orang beriman akan selalu menghadapi ujian, dugaan, gangguan dan kesusahan. Malah, terdapat segelintir manusia yang perlu mengorbankan harta benda dan barang berharga mereka ketika berada dalam kesusahan. Sudah pasti, kesabaran memainkan peranan yang penting demi memelihara manusia daripada melakukan perkara yang boleh menjatuhkan maruah mereka (Miskahuddin, 2020). Sabar dalam perspektif barat pula menggunakan isitilah self-control. Topik mengenai self- control atau kawal diri merupakan aspek psikologi yang banyak dikaji dalam psikologi pada tahun 1980-an (Yusof et al., 2018). Maka, kesabaran berkait rapat dengan kawalan diri seseorang dalam menghadapi pelbagai perkara atau keadaan yang tidak menyenangkan. Subandi (2011) dalam kajiannya yang bertajuk Sabar: Sebuah Konsep Psikologi mengkaji konsep sabar berdasarkan perspektif pelbagai agama seperti agama Islam, Kristian, Buddha dan Hindu. Berdasarkan kajian beliau, dapat disimpulkan bahawa sabar mempunyai pelbagai makna seperti mengawal diri, berusaha mengatasi masalah, merasakan kepahitan hidup tanpa mengeluh, kegigihan, bekerja keras dan tabah untuk mencapai sesuatu matlamat. Hal ini demikian menjelaskan bahawa setiap agama juga menekankan konsep sabar dalam kehidupan. Pemilihan sabar sebagai konsep yang akan dibincangkan ini adalah disebabkan oleh konsep ini sering disalahertikan oleh masyarakat. Sabar sering dianggap sebagai pasrah, mengalah, menunggu dan sebagainya (El Hafiz et al., 2013). Konsep sabar boleh dikategorikan sebagai salah satu topik kajian dalam psikologi positif seperti bersyukur (gratitude) dan kemaafan (Subandi, 2011). Kepesatan perkembangan psikologi kini menjadikan psikologi terutamanya psikologi positif mulai melihat nilai-