Kesediaan Pelajar Mempelajari Mata Pelajaran Pengajian Kejuruteraan Awam Di Sekolah Menengah Teknik Muadzam Shah, Pahang Abdul Rahim Bin Hamdan & Sarah Liyana Binti Ab Latif Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia Abstrak : Kajian ini dijalankan adalah untuk mengenalpasti kesediaan pelajar dalam mempelajari mata pelajaran Pengajian Kejuruteraan Awam di Sekolah Menengah Teknik Muadzam Shah, Pahang. Seramai 129 orang pelajar tingkatan empat sesi 2007 yang terdiri daripada 41 orang pelajar lelaki dan 88 orang pelajar perempuan telah dipilih untuk menjadi responden. Dalam kajian ini, kesediaan pelajar dikaji dalam tiga aspek iaitu minat, kemahiran bahasa Inggeris dan pengetahuan sedia ada. Instrumen kajian yang digunakan ialah soal selidik dan nilai kebolehpercayaannya adalah α = 0.906. Analisis statistik deskriptif telah digunakan dalam tatacara menganalisis data. Pada keseluruhannya, hasil kajian menunjukkan bahawa kesediaan pelajar mempelajari mata pelajaran Pengajian Kejuruteraan Awam di Sekolah Menengah Teknik Muadzam Shah, Pahang adalah pada tahap yang sederhana. Hasil ujian-t pula menunjukkan terdapat perbezaan minat antara pelajar lelaki dan pelajar perempuan. Walaubagaimanapun tidak terdapat perbezaan kemahiran bahasa Inggeris dan pengetahuan sedia ada antara pelajar lelaki dan pelajar perempuan. Oleh yang demikian, beberapa cadangan telah dikemukakan kepada guru, pihak sekolah dan ibu bapa bagi meningkatkan kesediaan di kalangan pelajar. Di samping itu, cadangan kajian lanjutan bagi penyelidik yang ingin meneruskan kajian ini dengan lebih mendalam juga diberikan. Katakunci : kesediaan pelajar, pengajian kejuruteraan awam Pengenalan Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta member sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Demikianlah murninya hasrat dan semangat Falasafah Pendidikan Negara. Pendidikan negara bermatlamatkan dan memfokuskan penjanaan warganegara yang mampu memberi sumbangan bermakna kepada diri masing-masing, masyarakat dan negara. Maksud yang tersurat dalam Falsafah Pendidikan Negara itu diterjemahkan ke dalam Misi Kementerian Pendidikan dan menjadi asas kepada usaha ke arah peningkatan dan pengukuhan sistem pendidikan negara bertaraf dunia. Fokus yang mendasari matlamat utama ini ialah pengembangan potensi pelajar pada tahap optimum. Hasil daripada peningkatan kurikulum Pendidikan Teknik dan Vokasional serta penyusunan yang lebih rapi diharapkan dapat meningkatkan dan memberi kesan dalam pembangunan negara. Pendidikan yang mencukupi perlu diberikan kepada golongan muda untuk menghasilkan tenaga sumber manusia yang berpengetahuan dan mahir dalam bidang kejuruteraan. Bagi melahirkan golongan yang berilmu dan berkemahiran ini, mereka hendaklah sentiasa bersedia menerima segala ilmu yang bakal dipelajarinya.